BAB 5
Muncung Maya semakin panjang apabila tiba di rumah Puan Haniza. Ketika
itu pelbagai perasaan timbul dalam dirinya. Mahu sahaja dia menangis. Mana
tidaknya, kereta Puan Haniza yang sepatutnya membelok ke kiri untuk ke rumah
Maya, tidak membelok. Sebaliknya Puan Haniza meneruskan perjalanannya terus
pulang ke rumahnya.
Ego Maya yang terlalu tinggi membuatkan dia benci sangat apabila pergi
ke rumah Puan Haniza. Matanya langsung tidak tertancap pada rumah tersebut,
sebaliknya dia hanya menundukkan kepalanya sahaja. Tubuhnya kaku. Mungkin
terkilan dengan tindakan Puan Haniza. Maya masih lagi tidak keluar dari kereta,
sedangkan Puan Haniza telah lama mematikan enjin keretanya. Setelah ditegur
beberapa kali, barulah Maya mengangkat kepala dan punggungnya keluar dari
kereta tersebut. Langsung tidak berkata apa-apa. Diam membisu. Muka Puan Haniza
juga langsung tidak dipandangnya.
Masuk sahaja di dalam rumah, Maya hanya memandang lantai rumah. Tidak
berani untuk mengangkat kepalanya. Biliknya ditunjukkan oleh Puan Haniza. Kini
dia akan duduk di dalam bilik tetamu yang disuruh oleh Puan Haniza. Segala
barang-barangnya juga dimasukkan ke dalam bilik tersebut.
Maya melabuhkan punggungnya di atas katil dengan niat sebaik sahaja dia
masuk ke dalam bilik itu, dia tidak akan keluar dah. Panggilan Puan Haniza yang
memanggilnya untuk makan petang dijawabnya dengan jawapan yang dia sudah
makan di sekolah dan masih kenyang lagi. Maya menyusun barang-barangnya di tepi
katil. Kain tuala dicapainya. Dia perlu membersihkan dirinya terlebih dahulu
sebelum buat kerja. Setelah selesai membersihkan diri, Maya menunaikan ibadah
wajibnya yang tertunggak.
Maya mengeluarkan segala kerja sekolah yang cikgu bagi. Selesai semua
kerja sekolah tersebut, Maya sambung pula membuat latihan tambahan.
Memandangkan minggu depan adalah hari peperiksaan, jadi dia kena buat lebih
banyak latihan untuk minggu ini.
Daripada balik sekolah tadi sehinggalah sekarang, hampir pukul 6:30.
Maya tidak keluar dari biliknya. Kedengaran suara budak-budak di luar biliknya.
Mungkin anak Puan Haniza yang masih sekolah rendah. Macam-macam perkara dan
soalan yang Maya dengar daripada budak-budak itu. Dia soal, kasut di luar tu
siapa punya? Dalam bilik ni ada siapa? Macam-macam. Memandangkan bilik tetamu
yang didiami Maya sekarang terletak berdekatan dengan ruang tamu, jadi setiap
perbualan mereka yang berada di luar bilik masih dapat didengar Maya meskipun
pintu bilik ditutup dan berkunci.
Waktu maghrib hampir tiba. Maya mahu keluar dari bilik ni kalau boleh.
Dia baru teringat akan drama kegemarannya yang akan bersiaran sebentar sahaja
lagi di televisyen. Maya ke hulu ke hilir dalam bilik. Memikirkan cara macam
mana nak tengok cerita tu. Dia tak nak terlepas babak yang menarik. Boleh
sahaja dia download di internet, tapi Maya tak suka untuk download. Bagi dia
kalau tonton di televisyen lagi memuasakan.
Maya akhirnya keluar dari biliknya. Nasib baik uminya menyediakan
pakaian lengan panjang, seluar track dan sehelai tudung hitam labuh untuknya.
Ini memudahkan dia untuk berurusan dengan yang bukan mahram ketika berada di
rumah tersebut. Sebaik sahaja keluar dari bilik, kelihatan tiada sesiapa di
ruang tamu. Sunyi. Sepi. Mungkin mereka semua berada diatas. Sedang
bersiap-siap untuk solat maghrib barangkali.
Maya perlahan-lahan mengorak langkahnya ke dapur, tiada orang. Di ruang
tamu juga tiada orang. Ingin sahaja dia naik ke tingkat atas tapi dibatalkan
niatnya. Baru sahaja dia ingin berpatah balik, Puan Haniza turun dari tingkat
atas sambil bertelekung. Puan Haniza memanggil Maya.
“Maya, jomlah naik atas. Siap untuk solat Maghrib. Kita solat sama-sama.
Berjemaah” ajak Puan Haniza. Kini Puan Haniza menggelarnya dengan nama 'Maya'
pula.
“Err...tak apalah ustazah. Ustazah pergilah. Saya solat sendiri” balas
Maya sambil tersengih-sengih.
“Jomlah solat sekali. Mari sini” kali ini Puan Hanizan menarik
tangannya.
“Ok,ok. Ustazah pergilah dulu. Nanti Maya naik atas. Ustazah naiklah
dulu” balas Maya. Puan Haniza kembali naik ke atas. Sememangnya ayat yang dia
gunakan adalah jawapan untuk dia selamatkan diri.
Suami kepada Puan Haniza iaitu Encik Zamani mula melaungkan azan
Maghrib. Aktiviti solat secara berjemaah yang biasa dilakukan oleh keluarga
Puan Haniza akan berlangsung sebentar lagi. Kedengaran azan Maghrib di surau
kawasan perumahan itu juga sedang berkumandang. Encik Zamani turut melaungkan
azan dari tingkat atas. Namun kelibat Maya tidak kelihatan. Puan Haniza yang
sedang duduk di atas tikar sejadah masih menanti kehadiran Maya.
Maya mempersiapkan diri untuk solat Maghrib. Solat bersendirian. Nasib
baik uminya sediakan telekung juga untuk dia. Tak payah susah-susah dia hendak
minta dari ustazah. Maya solat bersendirian. Dia tidak ingin langsung untuk
naik ke atas. Selesai solat, Maya mencari-cari benda yang paling penting
sekali. Dia sendiri tak tahu macam mana dia boleh lupa. Semua beg telah
diselongkar, tetapi tidak jumpa.
“Mana handphone aku ni?” getus Maya.
No comments:
Post a Comment