BAB 12
Hafizz duduk di sofa yang terdapat di ruang berdekatan dengan bilik Maya. Cuba untuk menenangkan diri. Hujan lebat telah berlangsung selama setengah jam dan selama setengah jam itu jugalah Maya terlena buat seketika.
Jam menunjukkan pukul 2:30 petang. Maya terjaga dari tidurnya. Matanya cuba mengamati keadaan sekeliling biliknya yang bersepah. Badannya terasa sejuk dan mengigil. Bajunya juga sedikit lembab. Maya memperkemaskan baju dan tudungnya yang dah senget-benget lalu segera keluar dari biliknya dan turun ke tingkat bawah. Barangkali teringat akan tetamu yang hadir pada tengah hari tadi. Jam di dinding langsung tidak dikerling. Bilik yang bersepah ditinggalkan begitu sahaja, tidak terdaya untuk mengemasnya.
Maya perlahan-lahan menuruni anak tangga. Tiba-tiba kepalanya terasa
sangat sakit. Badan terasa seram sejuk, mukanya pucat dan penglihatannya
sedikit kabur. Apabila tiba di tingkat bawah Maya berkelakuan seperti biasa,
berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Senyuman sentiasa terukir di bibir
meskipun kepalanya pening dan penglihatannya kurang jelas sehingga dia tidak
dapat mengecam siapa yang berada di depannya.
Kelihatan orang di tingkat bawah masih ramai. Kecoh seperti awal tengah hari tadi. Mereka sedang bersiap-siap untuk pulang. Mereka semua bersalam-salaman sesama sendiri. Maya juga tidak terlepas untuk bersalaman dengan Puan Haniza dan anak perempuannya.
“Maya, ibu balik dulu ya. Nanti jangan lupa datang rumah ibu pula” Puan mempelawa Maya. Maya hanya diam membisu.
“Maya kenapa ni? Macam tak larat saja.” tegur Puan Haniza apabila dia merasa tangan Maya sejuk ketika bersalaman tadi dan muka pucat. Maya hanya menggelengkan kepala.
Beberapa saat selepas itu, Maya akhirnya rebah dari diriannya. Pengsan. Tubuhnya sempat disambut oleh Puan Nor yang berada di sebelahnya. Semua orang yang berada di dalam rumah terkejut dan panik, terutama Puan Nor dan Puan Haniza.
“Maya..Maya!” panggil Puan Nor bagi menyedarkan Maya.
“Panas sangat badan Maya. Demam panas ni. Baju dia pun basah. Macam mana boleh jadi macam ni?” beritahu Puan Haniza kepada Puan Nor setelah memeriksa tubuh Maya.
Hafizz yang melihat kejadian itu seperti sudah menjangka apa yang bakal berlaku kepada Maya. Sejak Maya turun dari tingkat atas, dia telah perhatikan pergerakan Maya yang mamai. Dia segera naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku di dalam bilik Maya. Seperti yang dijangka, Maya mungkin demam disebabkan hujan tadi. Hafizz turun ke bawah untuk buat apa yang patut.
Tanpa membuang masa, tubuh Maya diangkat oleh abahnya lalu dimasukkan ke dalam kereta. Mereka semua menuju ke hospital yang berdekatan dengan segera.
Sebaik sahaja tiba di hospital, Maya di masukkan ke wad dengan segera kerana keadaannya yang masih tidak sedarkan diri. Setelah beberapa minit diperiksa oleh doktor, mereka semua diberitahu oleh doktor bahawa Maya mengalami demam panas yang agak teruk akibat daripada sama ada kurang minum air atau terdedah kepada cuaca atau persekitaran yang tidak menentu.
Maya ditahan di wad buat sementara waktu bagi memudahkan pemeriksaan doktor. Bajunya yang basah telah ditukar dengan baju yang lain. Jaket tebal juga turut disangkut pada tubuh Maya diikuti selimut yang dibawa oleh Puan Nor dari rumah pada petang tadi.
Malam menjelma. Maya masih tidak sedarkan diri. Encik Ismail dan Encik Zamani serta keluarga kecuali Puan Nor dan Hafizz. Hafizz menawarkan diri untuk menemani Maya bersama Puan Nor.
No comments:
Post a Comment