The Silent Killer: Soul


Friday, 16 October 2020

THE SILENT KILLER; SOUL

BAB 9

Pagi menjelang tiba, seperti biasa Maya akan bangun pada pukul 5:15 pagi. Ini adalah kali pertama dirinya bangun pagi tanpa dikejut, hanya dibantu oleh jam loceng yang berada di atas meja bersebelahan dengan tempat tidurnya. Pada kebiasaannya Puan Nor yang akan menjadi jam loceng paling berkesan di rumahnya.

Bunyi tapak kaki orang lalu lintas di hadapan biliknya dan suara orang dari tingkat atas jelas kedengaran. Dengan keberanian yang Maya miliki, Maya mencapai kain tuala di kepala katil untuk menutup kepalanya, perlahan-lahan dia membuka pintu bilik dan keluar. Kelihatan tiada sesiapa diluar. Keadaan di ruang tamu masih gelap dan suram. Namun cahaya terang yang datang dari ruang dapur dapat menarik perhatiannya. Kegelisahan dalam diri semakin terasa. Langkah demi langkah dia menapak ke dapur.

“Ustazah?” tegur Maya sebaik saja ternampak seorang wanita yang sedang berdiri sambil minum air.

“Eh, Maya dah bangun. Ibu baru ingat nak kejutkan Maya” Balas Puan Haniza apabila melihat Maya.

“Maya baru saja bangun. Ibu buat apa ni? Awal ibu bangun? Ibu bangun pukul berapa?” soal Maya lagi. Panggilan ‘ustazah’ yang tadi digunakan, diperbetulkan. Maya masih merangkak untuk menyesuaikan dirinya di sini.

“Ibu dah bangun lama dah. Ibu turun minum air ni. Tekak haus” balas Puan Haniza.

“Oh. Kalau macam tu Maya masuk bilik dululah. Nak mandi nanti lambat pula” Maya meminta izin sebelum beredar dari situ.

“Yelah”

Aku sangkakan, aku orang pertama yang bangun pada pagi itu. Rupa-rupanya, ustazah bangun lagi awal dari aku. Maya mempersiapkan dirinya pagi itu. Mandi, pakai baju sekolah dan tidak terlupa juga untuk menunaikan solat sunat Tahajjud sebelum azan subuh berkumandang. Sudah menjadi kebiasaannya untuk solat sunat Tahajjud.

Maya mengemas beg sekolah dan beg pakaiannya kemudian diletakkan di tepi katil supaya senang untuk dia mencapainya nanti. Katil yang tadi bersepah dikemas. Cadar ditegangkan, selimut dilipat dan bantal disusun seperti sediakala. Tidak lama selepas itu, azan Subuh berkumandang. Maya segera menunaikan solat fardu Subuh bagi melaksanakan kewajiban dan amanahnya kepada Allah sebagai hamba-Nya.

Tepat jam 6:30 pagi, Maya dan Puan Haniza bergerak dari rumah untuk ke sekolah. Pagi itu tak ubah seperti pagi semalam dan sebelumnya. Kenderaan di jalan raya tidak pernah putus dari bertali arus. Bunyi enjin kenderaan memecah hening pagi. Kedinginan pagi pula tidak pernah lekang dari mencengkam tubuh sesiapa sahaja yang melaluinya terutama yang bermotosikal. Maya tiba di sekolah kira-kira dalam pukul 6:55 pagi.

Puan Haniza meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang biasa digunakan. Setelah membetulkan keadaan keretanya, mereka masing-masing keluar. Sebelum Maya beredar dari situ untuk berjumpa kawan, Maya sempat bersalaman dengan Puan Haniza terlebih dahulu. Tanda hormatnya terhadap wanita itu.

No comments:

Post a Comment